Friday, May 14, 2010

PTAR UiTM menang anugerah PPM

KUALA LUMPUR 10 Mei - Kejayaan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperoleh anugerah peringkat antarabangsa membolehkannya dipilih sebagai penerima Anugerah Perpustakaan Cemerlang Persatuan Pustakawan Malaysia.

Kemenangan PTAR bagi Kategori Perpustakaan Besar itu membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Turut memenangi hadiah itu ialah Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka bagi Kategori Perpustakaan Sederhana manakala Pusat Maklumat dan Perpustakaan Bernama diumum pemenang Kategori Perpustakaan Kecil.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar sempena majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pustakawan Malaysia 2009/20l0.

Pemenang anugerah itu dinilai berdasarkan kepelbagaian aktiviti promosi sedia ada yang kreatif serta inovatif bagi menarik perhatian pengguna kepada perkhidmatan dan sumber perpustakaan yang cemerlang.

Sementara itu Ketua Pustakawan PTAR, Haron Wee Ah Boon berkata, antara inovasi yang diperkenalkan oleh perpustakaan tersebut adalah Sistem Maklumat Perpustakaan Berkomputer (CLIS) yang memenangi pingat emas di Seoul, Korea Selatan pada tahun 2008.

Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama semua ahli perpustakaan PTAR.

"Saya bersyukur dan bangga dengan anugerah ini. Kami akan membuat penambahbaikan supaya pelanggan mudah untuk mendapatkan maklumat dengan pantas," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut.

Dalam perkembangan sama, Hadiah Pelajar Terbaik Sains Perpustakaan dimenangi oleh pelajar sarjana daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Norhiyah Mohammad Noor; pelajar sarjana daripada Universiti Malaya (UM), Kevin Wan Utap Anyi dan bekas mahasiswa UiTM, Nurhidayah Nasharudin.

Sementara itu Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), The Malay Aids Council dan St. Nicholas Home turut menerima anugerah khas atas usaha mereka menubuhkan perpustakaan bagi membantu ahli-ahlinya dan orang awam.

No comments:

Post a Comment